Krisis Makanan - Tangani Krisis Harga Beras

Pemantauan perlu diperhebat tangani krisis harga beras (06/05/2008)
Sumber: http://www.bharian.com.my/

KETIKA negara berdepan masalah kesan krisis makanan sedunia dengan harga beras terus melambung di pasaran antarabangsa, timbul empat persoalan, iaitu apakah kerajaan bersedia memecah monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang selama ini menjadi pengimport tunggal beras negara. Kedua, apa tindakan serta perancangan kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta kerajaan negeri berhubung ribuan hektar tanah terbiar yang dulunya tanah sawah padi. Ketiga, sejauh mana pemantauan dilakukan pihak berkuasa terhadap pemborong yang dikatakan menggred semula beras super tempatan 15 peratus hancur kepada beberapa gred lain sehingga tercetus kekurangan beras gred itu di pasaran dan keempat, mengapa pihak berkuasa yang berkaitan tidak membenarkan petani menanam padi lebih dua kali setahun seperti didakwa berlaku di Selangor. Semua persoalan ini ditimbulkan dalam usaha mengelak rakyat berdepan tekanan kenaikan harga beras dunia dan inflasi. Laporan akhbar ini semalam, menyebut bahawa Bernas mengurangkan import hampir 40 peratus dalam tempoh empat bulan lalu ekoran kenaikan harga di pasaran antarabangsa, menyebabkan berlaku masalah bekalan beras di pasaran tempatan. Keadaan bertambah buruk apabila Bernas dikatakan mencatu bekalan kepada pemborong bagi mencapai sasaran bekalan beras dalam Stok Penimbal Kebangsaan untuk tiga bulan seperti ditetapkan kerajaan.

Sejak Januari hingga bulan lalu, Bernas hanya mengimport kira-kira 300,000 tan beras berbanding keperluan ideal sekurang-kurangnya 500,000 tan untuk memenuhi permintaan semasa. Bagaimanapun, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia mendakwa kekurangan beras super tempatan 15 peratus hancur adalah gara-gara sikap tidak beretika pemborong. Beras gred ini adalah dikawal kerajaan berbanding 22 gred beras lain yang ditentukan permintaan pasaran. Di mana pemantauannya? Malah jika benar berlaku kekurangan, Bernas dan pengilang swasta seluruh negara hendaklah memastikan pengeluaran beras tempatan gred berkenaan mencukupi untuk pasaran dalam negara. Bernas hendaklah memastikan bekalan beras gred super tempatan 15 peratus hancur itu mencukupi dan tidak berlaku kenaikan harga. Bernas diswastakan pada Januari 1996 dan mengambilalih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sebagai penjaga industri padi dan beras negara. Selaku badan tunggal, hanya Bernas menentukan harga padi dibeli daripada petani, menyebabkan tiada konsep tawar-menawar harga antara petani dengan Bernas kerana harga ditetapkan badan itu. Begitu juga, tiada badan lain dibenar mengimport beras, selain Bernas menyebabkan tiada persaingan harga. Apakah sudah tiba masanya kerajaan membenarkan pihak lain mengimport beras dalam keadaan sekarang?

Dalam kemelut seperti sekarang, Kerajaan Terengganu pula mungkin memberi peluang kepada syarikat Thailand, China dan Taiwan memajukan tanah terbiar dengan tanaman padi secara usaha sama dengan petani tempatan. Bukan saja di Terengganu yang dikatakan ribuan hektar kawasan tanaman padi dikesan tidak diusahakan, malah masalah sama dihadapi negeri lain. Pesawah di Selangor keliru dengan pelaksanaan dasar penanaman padi negara yang tidak membenarkan menanam padi lebih dua kali setahun atau menjual benih bermutu kepada pesawah negeri lain. Kita mahu kementerian berkaitan membuat penjelasan kerana tindakan itu jika benar, akan menyebabkan usaha kerajaan memastikan bekalan makanan negara terjamin dan tidak berlaku peningkatan harga sukar dilaksanakan dengan menyeluruh.


*******************************************

Cadangan gubal Akta Padi dan Beras bendung kenaikan harga beras (08/05/2008) Sumber: http://www.bharian.com.my/

PULAU PINANG: Pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 boleh menjadi mekanisme membendung kenaikan harga beras di negara ini, kata Timbalan Setiausaha bahagian Industri Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Khamis Mohd Derus.

Beliau berkata setakat ini tidak ada akta yang boleh mengawal pengilang dan pemborong supaya tidak manipulasi harga padi.

“Pindaan atau penggubalan semula akta itu adalah antara langkah yang dikenal pasti boleh membendung masalah pengilang dan pemborong memainkan harga beras,” katanya pada Forum Umum Peningkatan Harga dan Kebajikan Rakyat: Langkah Semasa dan Masa Depan yang dianjurkan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Katanya, akta sedia ada hanya mampu mengawal harga beras di peringkat peruncit dan kelemahannya pula ia hanya mengawal harga beras gred Super Tempatan (ST) 15 peratus.

Khamis berkata, antara faktor lain berlaku kenaikan harga beras ialah disebabkan peningkatan permintaan terhadap beras ST 15 peratus ekoran harganya yang lebih murah berbanding beras gred lain.

“Pihak industri terutama pengeluar bihun turut menggunakan beras jenis ini kerana harganya yang lebih murah berbanding beras hancur,” katanya.

Katanya, harga beras hancur yang dijual oleh pemborong adalah RM2 manakala peruncit menjualnya pada harga RM2.20 sekilogram.

Selain itu, beliau berkata faktor spekulasi juga menjadi sebahagian daripda punca pengilang enggan mengeluarkan bekalan beras jenis ST 15 peratus di pasaran atas alasan harga komoditi itu akan meningkat.

“Kita juga tidak nampak berlaku kegiatan menyorok bekalan beras di negara ini kerana semua rekod aliran bekalan pengeluaran padi sentiasa dipantau kementerian,” katanya. - Bernama

0 comments:

Designed by Posicionamiento Web | Bloggerized by GosuBlogger | Blue Business Blogger