Krisis Makanan - Mencari alternatif beras


MENGUSAHAKAN penambahan bahan makanan adalah cara terbaik untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan. Biarpun tidak dinafikan banyak halangan terpaksa dihadapi, namun itu bukan alasan untuk tidak berusaha meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Makanan tidak hanya merujuk kepada beras semata-mata. Inilah budaya masyarakat kita yang tidak dapat lari daripada nasi sebagai makanan ruji. Tiada beras, maka tiada nasi dan jawapannya belum makan lagi. Sebab itu, biarpun telah makan mi, pulut, kek atau sesuatu yang mengenyangkan, kita masih mahu makan nasi juga.

Kita tentu masih ingat atau mengetahui mengenai masalah kekurangan makanan semasa dijajah oleh tentera Jepun dari tahun 1941 hingga 1945. Disebabkan harga beras yang melambung (masalah nilai wang) dan kekurangan bekalan, ganti sumber makanan rakyat Malaysia, terutama di kampung-kampung ialah ubi kayu, keledek, keladi, pisang dan ulam-ulaman.

Penduduk sekarang tidak lagi berminat makan jenis-jenis makanan itu. Malah banyak yang tidak kenal ubi kayu, keledek dan keladi. Ada yang beranggapan itu makanan golongan miskin atau penduduk kampung saja. Itulah silapnya apabila sumber makanan yang banyak di negara kita tidak dihargai.

Jenis makanan itu kaya dengan zat pemakanan untuk kesihatan dan perubatan. Malah, boleh dijadikan makanan ruji. Penduduk di negara tertentu menjadikan pisang sebagai makanan utama. Di negara kita sendiri, pada masa lalu, beberapa jenis pisang dijadikan makanan bayi yang kini telah diambil alih oleh makanan bijirin diproses di kilang.

HasilJenis-jenis tanaman itu bukan sahaja boleh menjadi alternatif kepada beras, tetapi apa yang lebih penting ialah ia mudah ditanam, hidup subur dan mampu mengeluarkan hasil di negara kita.

Untuk menanam ubi kayu, keladi, keledek dan pisang tidak memerlukan bendang atau ladang khas. Kawasan di tepi rumah juga boleh ditanam. Sekarang ini banyak kawasan yang terbiar ditumbuhi semak samun.

Jenis tanaman itu tidak memerlukan bekalan air, kecuali dalam kadar yang relatif berbanding padi. Ia boleh ditanam dan membesar sepanjang tahun, kecuali ubi kayu yang tidak tahan apabila berlaku banjir yang menyebabkan ubinya menjadi buruk.

Paling mudah ditanam ialah pisang. Ada yang asalnya ditanam berpuluh tahun lalu, tetapi terus mengeluarkan anak baru dan memberikan hasil yang berterusan.

Gambaran yang dinyatakan ini bertujuan supaya rakyat tidak perlu begitu runsing mengenai krisis makanan yang berlaku sekarang. Apa yang penting ada usaha dilakukan untuk menambah bekalan makanan pilihan selain beras.

Negara kita mempunyai keluasan tanah pertanian yang mampu untuk menampung keperluan makanan negara jika betul-betul diusahakan.

Mungkin untuk menambah penghasilan beras secara mendadak sedikit bermasalah kerana memerlukan sistem pengairan dan pengaliran yang baik. Tetapi, untuk mengusahakan tanaman lain rasanya tidak begitu sukar.

Apa yang penting, ialah cita rasa rakyat kita kenalah berubah. Jangan hanya mengharapkan nasi saja sebagai makanan ruji.

Di samping itu, penerapan amalan berjimat atau mengurangkan pengambilan makanan secara berlebihan juga satu tindakan serampang dua mata iaitu mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan dan pada masa yang sama mengamalkan pemakanan sihat.

Di negara lain, rakyatnya sengsara dan mati kerana kekurangan makanan, tetapi rakyat kita berpenyakit dan mati disebabkan lebih makan.

0 comments:

Designed by Posicionamiento Web | Bloggerized by GosuBlogger | Blue Business Blogger